Pengenalan.
Salam Sejahtera & Selamat datang ke lelaman diari maya kami!
Kami adalah para pelajar dari Program Bahasa Pilihan (Melayu) (MLEP) di Maktab Rendah Tampines
dan ada juga yang merupakan anggota Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS).
Hubungi kami:
Maktab Rendah Tampines (TPJC)
Address: 2, TAMPINES AVENUE 9 ( 529564 )
Tel : 67841955 Fax : 67810061
e-Mail : tpjc@moe.edu.sg
School Website : http://www.tampinesjc.net/
Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura(KGMS)
55 Lorong L Telok Kurau,
#03-67 Bright Centre S(425500)
Tel : 64407952 Fax : 64403521
Monday, June 30, 2008
Permainan Tradisional(Congkak)
Sedang saya mengemas bilik saya petang tadi, mata saya terpandang sebuah papan panjang yang mempunyai 7 lubang di setiap daripada dua baris manakala terdapat pula satu lubang besar di kedua-dua hujung papan itu. Kenangan lama mula bernostalgia.
Congkak.
Ternyata ia merupakan permainan tradisional yang paling saya gemari. Namun begitu, disebabkan kesibukan, saya tidak bermain congkak sekerap dahulu. Walaubagaimanapun, pada masa luang, saya sekeluarga bermain congkak bersama sehingga tidak perasan masa berjalan dengan begitu pantas. Begitu mengkhayalkan bukan permainan ini?
Saya pasti ramai yang sudah tahu cara permainan congkak tetapi bagi sesiapa yang tidak tahu atau mungkin sudah terlupa, beginilah caranya!
1) Dua orang pemain akan duduk menghadap papan congkak.
2) Kedua-dua pemain akan mencapai guli di lubang kecil(kampung) masing-masing dengan serentak dan memasukkan guli satu demi satu di dalam lubang kampung dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
3) Jika guli yang terakhir dimasukkan ke dalam lubang kampung kosong, pemain itu sudah tidak boleh bergerak lagi. Namun, jika pemain itu 'mati' di lubang kampung sendiri, dia bolehlah menembak guli-guli yang ada di lubang kampung yang bertentangan dengan lubang yang dia 'mati'. Pemain itu hanya dibenarkan menembah jika dia telah membuat sekurang-kurangnya satu pusingan.
4) Pemain yang masih belum 'mati' harus meneruskan permainan sehinggalah gulinya pula mati. Namun, jika gulinya masuk ke lubang besar(rumah) sendiri, langkahnya masih belum mati dan dia dikehendaki memulakan pergerakan baru dengan memulakan langkah di lubang kampung yang mempunayi guli yang paling banyak.
5) Permainan akan diteruskan sehingga semua guli telah dimasukkan ke dalam 'rumah' masing-masing.
6) Untuk pusingan kedua, pemain-pemain akan mengisikan semula lubang kampung dengan guli dan jika ada kampung yang tidak cukup guli, ia dianggap terbakar dan tidak boleh diisi dengan guli. Lubang itu akan terus ditutup selagi guli tidak cukup untuk mengisi lubang itu walaupun permainan sudah bermula sehingga pemain itu mengaku kalah.
Wah, seronoknya permainan congkak ya! Saya tidak sabarlah hendak bermain congkak dengan adik-beradik saya! Tetapi memandangkan sekarang sudah lewat malam, eee saya tidak beranilah! Maklumlah, congkak pun ada pantang-larang nya bukan? Sejak kecil lagi, ibu dan ayah selalu memberitahu kami agar berhenti bermain congkak sebelum waktu maghrib/senja. Entahlah mengapa. Saya sering bertanya sendirian, kenapa ya begitu? Kenapa kami tidak boleh bermain congkak hingga larut malam? Betulkah kepercayaan tahyul bahawa congkak itu ada penunggunya? Hmm, mungkin filem congkak yang baru diterbitkan beberapa bulan yang lalu dapat memberi jawapannya?
Namun, ia sebenarnya hanya terletak kepada pendapat dan interpretasi masing-masing. Yang paling penting sekali, permainan congkak ini adalah sangat menyeronokkan dan ia dapat menguji tahap ketangkasan dan kecekapan kita semasa bercongkak. Oleh itu, ia harus dilestarikan dan diturunkan ke anak-cucu kita supaya tidak hilang dek arus kemodenan.
Eh, apa lagi! Yok bermain congkak! oops, dah malam lah. Esok sahajalah ya! (:
10:29 PM
Friday, June 27, 2008
Kegemaran Saya (membaca)
Aisya Sofea, Sharifah Abu Salem, Meen Zulaikha.
Hmmm, siapakah agaknya gerangan mereka bertiga ya?
Jika anda juga mempunyai minat yang sama seperti saya iaitu membaca, sudah tentu anda tahu siapakah nama-nama yang telah saya sebutkan tadi. Ya, mereka bertiga merupakan antara penulis-penulis novel yang terkenal di Malaysia. Hampir semua tajuk novel yang mereka tulis 'meletup' bukan hanya di Malaysia tetapi di negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.
Secara jujur, saya memang memendam minat terhadap membaca buku. Semenjak saya masih kanak-kanak lagi, saya sudah pun mempunyai minat membaca buku. Namun, jenis buku yang saya baca semasa kecil tentunya berbeza dengan apa yang saya baca sekarang! Jika sekarang saya sangat suka membaca novel-novel, dahulu pula saya sering membaca buku cerita yang lebih kepada gambarnya. Maklumlah, umur masih setengah jagung.
Teringat pula saya kepada zaman-zaman kecil di mana saya selalu memujuk ibu saya untuk membawa saya ke perpustakaan di Pasir Ris kerana saya teringin sekali membaca buku cerita yang bertajuk "Alice in Wonderland". Rakan sekelas saya memberitahu saya bahawa dia telah membaca buku cerita tersebut dan dengan penuh bersemangat, dia menyuruh saya membacanya juga kerana jalan ceritanya sangat menarik. Malangnya, ibu saya tidak dapat menunaikan permintaan saya kerana dia terlalu sibuk dengan kerja rumah yang belum diselesaikan. Hampir satu rumah roboh apabila saya menangis dan menghentakkan kaki berkali-kali ke lantai. hehe, sungguh mendalam rasa cinta saya terhadap membaca buku.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan yang bertambah usianya akan bertambah juga permikirannya. Oleh itu, selera mereka juga berubah dan saya tidak dikecualikan. Semakin lama, minat saya terhadap buku kanak-kanak semakin menipis malah saya semakin suka kepada novel-novel yang pasti membuat jiwa saya lemah dan cair. Novel-novel yang paling saya minati ialah 'Adam & Hawa', 'Buatmu kekasih' dan juga 'Gelora Jiwa'. Pada pendapat saya, novel-novel ini berjaya melembutkan hati sesiapa yang membacanya kerana kejadian-kejadian di dalam cerita tersebut sangat menyedihkan.
Membaca buku adalah salah satu daripada kegemaran saya kerana saya boleh membaca buku di mana sahaja saya berada; di bas, tandas, sekolah. Lantas, segala perasaan bosan yang saya rasakan boleh berkurangan apabila saya membaca buku kerana ia mengisi ruang hidup saya dengan pelbagai adegan yang diceritakan dalam novel.
Disebabkan itu, membaca buku adalah kegemaran saya semenjak kecil dan saya pasti bahawa minat saya tidak akan berhenti di sini. Manalah tahu, mungkin satu hari nanti, saya pula yang akan menjadi penulis terkenal yang orang minati? (:
4:06 AM
Monday, June 23, 2008
Selamat datang ke Diari Maya Pertandingan Blogging 2008!
Pada tahun ini, Maktab Rendah Tampines (TPJC) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) telah bekerjasama menganjurkan Pertandingan Blogging 2008.
Terdapat 5 kategori bagi pertandingan ini. Berikut adalah kategori-kategori dan tema bagi kategori tersebut:
- Sekolah Rendah - Kegemaran saya
- Sekolah Menengah - Permainan Tradisional
- Maktab Rendah/CI/ITE/Politeknik/Universiti - Pelestarian Budaya Melayu
- Umum - Menangani Kos kehidupan yang Meningkat
- Warga Emas - Warisan Melayu
Pertandingan Blogging 2008 akan berlangsung dari 27 Jun 2008 hingga 27 Jul 2008. Tarikh tutup bagi penyertaan adalah 11 Jul 2008 dan borang-borang penyertaan boleh didapatkan dari lelaman http://www.bulanbahasa2008.sg/.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui e-mel blogging2008@hotmail.com.
*Sila kunjungi blog ini untuk mendapat maklumat terkini bagi Pertandingan Blogging 2008. (:
5:59 PM
Syarat-syarat.
Syarat-syarat pertandingan
1 Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Singapura, penduduk tetap dan pelajar/pekerja asing yang belajar/bekerja di Singapura. Terdapat lima kategori yang disediakan iaitu: Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, JC/CI/ITE/Politeknik/Universiti, Umum dan Warga Emas.
2 Setiap peserta harus mengisi borang penyertaan yang disediakan dan menghantar borang tersebut kepada pihak penganjur melalui faksimili: 64403521 atau e-mel: admin@kgms.org.sg selewat-lewatnya pada 11 Julai 2008. Borang yang tidak lengkap tidak akan diterima.
3 Setiap peserta harus mendaftarkan blog yang baharu dan menggunakan alamat blog yang bermula dengan bb2008- contohnya, bb2008-razmirah.blogspot.com. Kami harap para peserta akan menggunakan nama yang sesuai untuk alamat blog. Antara lelaman yang menyediakan perkhidmatan blog yang percuma ialah www.blogspot.com dan www.livejournal.com.
4 Di dalam blog para peserta, harus mengandungi catatan, perbincangan, buah fikiran dan komentar dalam bahasa Melayu tentang tema yang diberikan.
(i) Sekolah Rendah - Kegemaran Saya
(2) Sekolah Menengah - Permainan Tradisional
(3) JC/ITE/Poly/ Universiti - Pelestarian Budaya Melayu
(4) Umum - Menangani Kos Kehidupan yang Meningkat
(5) Warga emas (60 tahun ke atas)- Warisan Melayu
5 Segala gambar digital yang digunakan di dalam blog haruslah yang tulen dan tidak disalin dari mana-mana lelaman tanpa izin pemiliknya. Misalnya, gambar gasing dan wau.
6 Para peserta harus membuat catatan di dalam blog mereka bagi tempoh 27 Jun hingga 27 Julai 2008. Walau bagaimanapun, kami amat menggalakkan para peserta supaya meneruskan blog mereka selepas tempoh tersebut. Para peserta harus menulis sekurang-kurangnya 10 entri di dalam blog mereka.
7 Para peserta boleh membelek contoh blog di lelaman www.bb2008-pertandinganblogging.blogspot.com
8 Para pengadil akan menilai catatan blog para peserta bagi tempoh 27 Jun hingga 27 Julai 2008. Blog para peserta akan dinilai dari segi kerelevanan (isi dan bahasa yang digunakan), kreativiti (corak dan persembahan blog) dan nilai tambah (unsur ilmu dan pendidikan).
9 Keputusan pengadil adalah muktamad. Para pemenang akan dimaklumkan melalui e-mel dan senarai nama pemenang akan dinaikmuatkan ke lelaman www.bulanbahasa2008.sg.
10 Hadiah-hadiah menarik dalam bentuk peralatan IT, buku-buku dan baucar akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori. Setiap peserta akan menerima sijil penghargaan yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2008.
11 Hadiah-hadiah akan disampaikan kepada para pemenang dalam suatu majlis yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Bahasa 2008.
12 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi/ SMS Saudari Nur Razmirah di talian 91018344 atau e-mel: blogging2008@hotmail.com atau Encik Abdul Malek Ahmad di talian 94249611 atau melalui e-mel abdulmalek@pacific.net.sg.